widgeo.net

KURSUS KONTRAKTOR MARA 2011

Thursday, January 13, 2011

RAHSIA KURMA



Buah kurma atau dalam bahasa Arab menggelarnya tamar tergolong dalam
keluarga phoenix. Sekumpulan jenis palm seperti kelapa sawit sementara
buahnya bertangkai seperti buah pinang. Kurma mengandungi khasiat pemakanan
yang tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antaranya kurma kaya dengan
protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat mineral atau galian seperti
besi, kalsium, sodium dan potasium.

Selain kebiasaan, umat Islam digalakkan berbuka dengan kurma
bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang lain maksudnya: "Rumah yang tiada
kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan". Kurma diangkat tinggi
oleh Rasulullah kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi.

Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus, serat
2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 peratus
glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula didalamnya telah ditukar secara
semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap tubuh
adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan
dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa
mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa
dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi
glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

Disunatkan berbuka dengan kurma kerana orang yang berpuasa tidak makan
selama 12 jam. Kurma menyumbang tenaga serta-merta kepada si pemakan dan
ini memudahkan seseorang beribadat dan menunaikan sembahyang maghrib atau
tarawih. Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita makan
berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala waktu berbuka kita makan terlalu
banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya makanan yang
diambil kebanyakan mengandungi karbohidrat, tanpa tenaga serta-merta
menjadi penyebab selesai makan, mata pun mengantuk.

Kita makan kurma tanpa buang kulitnya yang mengandungi serat. Amat baik
untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan
vitamin A dan C amat tinggi pada peringkat khalal atau rotab dan menurun
sedikit pada peringkat tamar. Selain itu ia mengandungi zat galian dan yang
paling banyak dikenali sebagai potasium. Potasium diperlukan oleh tubuh
untuk sistem saraf kerana kurma adalah excellant source atau sumber
mujarab. Memang dalam susu, yogurt dan makanan laut juga mengandungi
potasium tetapi jumlahnya sedikit.

Pengambilan potasium yang berlebihan tidak mengumpul toksid di dalam tubuh
atau memudaratkan. Sebaliknya ia merangsang selera makan bagi yang
berpenyakit serta bagus untuk golongan yang mengalami sembelit, lemah otot,
sengal-sengal badan, letih, lesu, mengalami tekanan serta menguatkan
ingatan. Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan,
sebenarnya kurma juga setanding. Mungkin atas alasan pihak-pihak tertentu
atau negara pengeluar anggur telah menjalankan kempen makan kismis dan
mempopularkan khasiatnya.

Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana Firma Allah s.w.t.
dalam surah al-Mukminah ayat 19, "Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun
kurma dan anggur untuk kamu. Di sana kamu peroleh
buah-buahan yang banyak, dan sebahagiaannya kamu makan."

Diriwayat oleh Aishah r.a. yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat. "Jika
sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang
dimakan."

Dikisahkan sewaktu Mariam melahirkan Nabi Isa a.s. di bawah pohon
kurma. Telah datang malaikat Jibrail menyuruh Mariam menggegar pohon kurma
lantas dimakannya. Dengan izin Allah, ia memudahkan kelahiran Nabi Isa a.s.

Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolesterol, lemak dan gula di dalam
kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi.

Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus atau dijadikan
serbuk seperti teh. Direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai
jenis penyakit.

Begitu juga dalam rawatan kaedah sufism, menjadikan kurma salah satu
penawar penyakit.

Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk
menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga seksual
atau batin.

Jus buah kurma mungkin baru di negara ini, sebaliknya di negara
pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan
diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi mengenakkannya. Kurma
juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim.

Kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya dalam bulan puasa
sahaja. Kurma baik dijadikan pembasuh mulut selepas makan atau
menggantikannya makanan ringan yang rata-rata mengandungi
karbohidrat, garam, lemak dan gula berlebihan yang boleh membawa
pelbagai jenis penyakit.

WALLAHUA'LAM

No comments:

Name:
Email Address:
Nombor Telefon :
Pertanyaan & Soalan

Get your own free form like this one.