widgeo.net

KURSUS KONTRAKTOR MARA 2011

Sunday, October 24, 2010

AYAT MEMBARA...KATA-KATA PERLU DIKOTA!!!!!


Wahai anak Malaysia di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, tak bisa taat setia berbelah bagi!

Yes, Prime Minister, tabik Perdana Menteri! Bajet yang ‘memakmurkan’, ekonomi meningkat, ucapan Presiden hebat, reaksi hangat (walaupun bukan semua, lihat bahasa berlapik yang digunakan), isi perut hati yang dicurah oleh perwakilan, minima 80 peratus harus dilaksanakan oleh parti pemerintah kalau UMNO mahu terus mentadbir negara; semangat UMNO nampak sudah mulai pulih – zaman gemilang yang baru menanti!

Yes, Prime Minister, tabik Perdana Menteri! Hambamu juga teringat kepada sajak Usman Awang versa (verses) ini:

Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

Terlalu ghairah pesta temasya

Sedangkan kampung telah tergadai


Sedang orang mencapai timba

Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti...


Bagaimanakah Melayu abad 21

Masih tunduk tersipu-sipu ?


Yes, Prime Minister, tabik Perdana Menteri! Pidato Paduka Yang Mulia sudah hambamu menilik secara kasual dalam penerbangan dari Kota Bharu balik ke Kuala Lumpur (Jumaat, Oktober 22) dan memahami dan menghargainya. Kontrak sosial adalah ‘sacrosanct’ tegas Speaking. Sungguhpun Paduka Yang Mulia tidak menggunakan perkataan itu, maksudnya nyata dan jelas, iaitu kontrak sosial ‘sacrosanct’ yakni sesuatu yang suci tidak boleh diubah dan dipertikaikan lagi! Mengapa pula selepas 53 tahun (zaman kolonial pun sudah wujud kontrak sosial dalam konteks dan idiom ketika itu) kontrak sosial terus dipertikaikan?

Tegas seorang pengkritik Jumaat malam, ‘kerana pendukung sosial kontrak dan perlembagaan lembik, kerajaan tidak tegas dan ketandusan daya berfikir dan iltizam untuk berdebat secara ilmiah bagi membela apa yang sudah ada precedent, legal dan diterima sejarah. Mereka yang anti kontrak sosial berani, suara mereka amat lantang, networking antarabangsa dan media kukuh. Mereka tuduh Melayu ‘rasis’, dulu Melayu ‘ultra’, Melayu ‘ekstremis’ dan Melayu ‘perkauman’. Mereka mengulangi strategi lama dan yang berkesan...the best defence is to attack – sebaik pertahanan ialah menyerang.’ Tambahnya, ‘Melayu suka bertahan. Nasib Melayu di bumi sendiri!’ sambil menggeleng-geleng kepala botaknya.

Yes, Prime Minister, tabik Perdana Menteri! Reaksi kepada madah Paduka Yang Mulia seperti biasa, tiada beza dengan zaman Tunku, semasa ayahanda, ketika Hussein, waktu Dr Mahathir dan kala Badawi – semua setuju, yang tidak setuju pun beri pujian! Tiada yang mengeji sehinggalah mereka (bekas-bekas Perdana Menteri) itu hampir hilang kuasa apa lagi setelah mereka bersara (suka hati atau dipaksa). Hulubalang, temenggung, laksamana, bendahara dan pengiring-pengiring mereka dalam Dewan Merdeka PWTC dan di luar, cheerleaders kata orang Amerika, tidak bisa lagi, tidak harus lagi gundah-gulana kerana parti mereka tidak akan lagi mendukalarakan hati mereka yang tidak malu mengakui mereka Melayu apa pun takrifnya. Iltizam dan resolusi Paduka Yang Mulia akan terus diuji!

Kata seorang sinik (cynic): ‘kota segera yang dituturkan oleh Najib... itu sebaik dalil. Kalaupun manusia percaya Najib melakukannya bagi tujuan kelangsungan kerjaya politiknya’. Langsung hambamu mengingatkannya (pengkritik) apa Usman Awang berkata dalam puisinya ‘Melayu’:

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Melayu, dalam keseronokan, sanggup menghadiahkan apa pun pada siapa pun sehingga tercipta, terang Usman Awang, sebuah kiasan:

Dagang lalu nasi ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran

Golongan tertentu dalam sejarah dan yang baru memang mahu status quo dihapuskan, atau sekurang-kurangnya dipinda mengikut irama muzik mereka. Mereka tahu risikonya tapi mereka juga sedar tiada risiko tiada untung! Mereka telah mencabar status quo sepanjang sejarah moden Malaysia - 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan (jawapan mereka darurat), 1957 (ada yang tidak mahu kita merdeka), 1959 (dalam Pilihan raya Parlimen pertama), 1963-1965 (semasa Singapura dalam Malaysia) dan 1969 dan semuanya gagal. Mereka akan terus cuba dengan gigih. Yes, Prime Minister, tabik Perdana Menteri! Kata sejarawan kepada hambamu kalau tidak waspada sejarah akan berulang!

Yes, Prime Minister, tabik Perdana Menteri! Nasihat sejarawan tadi gunalah dengan bijak dalam masa yang masih ada, waktu matahari masih cerah. Berapa lama lagi matahari dan bulan purnama akan menyinari? Ujian segera, sama ada mesej Paduka Yang Mulia sampai ke bawah, difahami dan dihargai adalah pada 4 November di Galas dan Batu Sapi.

Berwaspadalah dengan mereka yang licik dan bertopeng:

Janji simpan di perut

Selalu pecah di mulut

Biar mati adat

Jangan mati anak


Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan.


Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan...


Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara merdeka!


Yes, Prime Minister, tabik Perdana Menteri! Siapa pun perdana menteri dan siapa pun bakal pengganti Paduka Yang Mulia dia menghadapi ketegangan atau tensions antara pegawai, rakyat dan politikus; antara tradisi dengan matlamat politiknya, iaitu memenangi pilihan raya. Konflik moral dan etika melibat kepentingan negara, parti dan peribadi berterusan. Ketiga-tiga pilihan dan tensions menjadikan politik segar, negara maju, bangsa selamat atau sebaliknya!

Yes, Prime Minister, tabik Perdana Menteri! Orang Melayu – Islam, mereka yang benar-benar beriman bergembira bila melakukan kebaikan dan berduka cita bila mengerjakan kejahatan. nasihat yang baik wajib didengar dan diikuti dan yang buruk dicabar dan tidak payah dipatuhi!

Yes, Prime Minister, tabik Perdana Menteri.

sumber : sinar harian

No comments:

Name:
Email Address:
Nombor Telefon :
Pertanyaan & Soalan

Get your own free form like this one.