widgeo.net

KURSUS KONTRAKTOR MARA 2011

Sunday, October 3, 2010

PENYELESAIAN MAKIN SUKAR


Beberapa kali sahaja rundingan langsung antara rejim Zionis Yahudi dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) berlangsung. Kini, rundingan itu terhenti semula apabila pembekuan pembinaan penempatan baru Yahudi selama 10 bulan di Tebing Barat tamat pada akhir September lalu.

Sebagai simbolik penamatan tersebut, orang-orang Yahudi membawa jentolak dan alat-alat lain serta bahan pembinaan bagi merangsang semula pembinaan penempatan baru Yahudi di Tebing Barat yang kini mencapai jumlah 500,000 orang.

Pihak PA memberi syarat tegas tidak akan berkompromi untuk meneruskan rundingan langsung jika rejim Zionis meneruskan penempatan mereka dan meramaikan penduduk Yahudi di Tebing Barat.

Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza dikenal pasti sebagai wilayah PA yang bakal menjadi wilayah Palestin dalam pelan damai yang dibroker jawatankuasa empat penjuru, termasuk Amerika Syarikat (AS), bagi menyelesaikan isu Palestin dengan mewujudkan Negara Palestin beriringan dengan rejim Zionis haram yang telah dilahirkan pada 1948 dengan merampas dua pertiga bumi milik rakyat Palestin.

Tetapi, wilayah-wilayah Palestin ini terus diceroboh dengan penempatan baru Yahudi. Rejim Zionis tidak mempedulikan tentangan antarabangsa terhadap aktiviti penempatan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa serta mencabul perjanjian-perjanjian damai antara rejim Zionis dan Palestin serta negara-negara Arab yang diwakili Liga Arab.

Wilayah-wilayah ini di bawah naungan dan penjajahan rejim Zionis dan kerana itu mereka mampu berbuat apa sahaja. Masyarakat antarabangsa tidak berupaya menyekatnya dan menjadi pengetahuan umum bahawa rejim Zionis tidak pernah tunduk kepada sebarang resolusi yang dibuat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam isu Palestin.

AS dan barat sebagai pendukung dan pelindung rejim Zionis menggunakan kuasa pembatal atau veto dalam Majlis Keselamatan bagi menyekat sebarang resolusi yang menyentuh keutuhan dan survival rejim Zionis. Sesiapa atau mana-mana negara yang cuba mencabar rejim Zionis akan menerima padah tindakan AS dan sekutu baratnya. Iran adalah contohnya.

Inilah hakikat yang tidak mudah diselesaikan dan ia menjadi batu penghalang kepada kewajaran sebarang penyelesaian Palestin. AS dan barat bertindak sebagai peguam bela dan pada masa sama menjadi hakim dalam isu Palestin, memberi ruang kepada rejim Zionis mencapai matlamat dan cita-citanya.

Rakyat Palestin sentiasa berada dalam kerugian dalam sebarang perbincangan dengan rejim Zionis. AS dan sekutu barat pula terus mengasak supaya Palestin meneruskan rundingan tanpa sebarang syarat dengan rejim Zionis, walaupun ketika pembinaan penempatan baru terus mengambil tempat. Sepanjang rundingan, setakat ini tiada sesuatu yang konkrit dan berisi dapat dihasilkan yang menyebelahi pihak Palestin.

Kini, dengan jumlah penempatan Yahudi seramai 500,000 di Tebing Barat dan penempatan di Baitulmuqaddis Timur yang sentiasa berkembang, apakah mampu dilakukan oleh Palestin terhadap penduduk Yahudi jika sebuah Negara Palestin akan lahir?

Jumlah penduduk Yahudi yang begitu ramai di wilayah Palestin, akan menjadi duri dalam daging kepada pihak berkuasa Palestin dan ini memberi gambaran negara Palestin sebenarnya satu omong kosong yang sengaja diada-adakan pihak kuasa AS dan barat dalam penerusan agenda mereka di Asia Barat.

Pelan damai untuk mewujudkan negara Palestin sengaja ditimbulkan supaya pihak Palestin sentiasa berada dalam suasana rundingan dengan rejim Zionis sedangkan hakikatnya rejim Zionis tidak mungkin membenarkan sebuah negara Palestin wujud mengikut acuan rakyat Palestin sendiri.

Rejim Zionis mahukan negara Palestin yang bakal wujud mestilah tertakluk kepada kehendak dan acuannya, iaitu berada di bawah naungannya tanpa mempunyai ketumbukan tentera dan sistem pertahanan sendiri dan pelbagai lagi syarat yang tidak mempamerkan ia sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Apakah rakyat Palestin akan menerima hakikat ini? Ia jauh dari kehendak dan keperluan sebuah negara berdaulat dan dalam situasi sebegini tidak akan muncul sebuah negara menjadi idaman rakyat Palestin yang telah berjuang selama lebih enam dekad untuk melepaskan diri dari penjajahan dan penaklukan rejim Zionis.

Apabila terhentinya rundingan langsung yang ditaja AS dan jawatankuasa empat penjuru, maka AS dan sekutunya akan meneruskan usaha secara tidak langsung pula dan ia bagaikan memaksa pihak Palestin kembali ke meja rundingan tanpa sebarang syarat, sementara rejim Zionis meneruskan perluasan penempatan baru Yahudi di wilayah-wilayah yang dimenangi mereka dalam perang 1967.

Terlalu sulit dan rumit untuk mencari penyelesaian Palestin. Ia menjadi bertambah rumit apabila rejim Zionis menambahkan penempatan baru penduduk Yahudi di wilayah-wilayah yang ingin dijadikan wilayah bumi negara Palestin.

Isu ibu negara Palestin dan ibu negara rejim Zionis dan hak untuk rakyat Palestin yang menjadi pelarian untuk kembali ke bumi Palestin adalah isu-isu kritikal yang kelihatan tidak ada jalan penyelesaiannya.

Ibu negara Palestin ialah Baitulmuqaddis Timur dan ibu negara rejim Zionis ialah seluruh Baitulmuqaddis. Mana mungkin ada penyelesaian dan dalam keadaan serumit ini tentulah gendang perang akan dipukul oleh kedua pihak. Hak untuk rakyat Palestin kembali dinafikan dan ini tentu menyulitkan proses perdamaian.

Isu-isu yang menyangkut Palestin hampir mustahil untuk dicari penyelesaian. Ia ditambah pula dengan isu penempatan baru Yahudi ,menjadikan penyelesaian Palestin bagaikan tidak ada jalan keluar yang munasabah untuk dicari.

Penambahan penduduk Yahudi di Tebing Barat dan di Baitulmuqaddis Timur sengaja dicipta oleh rejim Zionis untuk menambahkan halangan sedia ada bagi menggagalkan usaha mewujudkan sebuah negara Palestin sebagaimana terkandung dalam pelan damai.

Di samping halangan-halangan berkenaan yang sangat sukar untuk mencari penyelesaiannya, status Mesjid Al-Aqsa dan pelbagai tempat suci di persekitaran Baitulmuqaddis tidak dapat dirundingkan dan tiada kompromi. Ia lebih mengundang persengketaan dari perdamaian. Masjid Al-Aqsa dan Baitulmuqaddis bagi umat Islam adalah benteng iman dan takwa yang tidak dapat dikompromikan.

*Penulis Ialah Perunding Media Di Kuala Lumpur.

sumber : sinar harian
SEMOGA ALLAH MEMBERIKAN KESENANGAN BAGI MENYELESAIKAN KEKUSUTAN DI PALESTIN...DIDATANGKAN KEMERDEKAAN UNTUK ORANG ISLAM..JAUH DARI KESEKSAAN KEPADA KANAK-KANAK KECIL DAN MASYARAKAT ORANG ISLAM... amin

No comments:

Name:
Email Address:
Nombor Telefon :
Pertanyaan & Soalan

Get your own free form like this one.