Ah, kebelakangan ini kerap pula saya berkalam membela rakan-rakan peguam. Baru minggu lepas saya menempelak Kelab Belia Graduan 1Malaysia tentang kecaman mereka terhadap Kempen PerlembagaanKu. Minggu ini, sekali lagi saya menulis tentang kerjaya rasmi saya. Bukan niat menegakkan benang basah, tetapi apa yang bengkok perlu dilurus, yang khilaf harus dibetulkan.
Sejak akhir-akhir ini, pijar benar telinga saya membaca kritikan manusia yang celupar melabelkan peguam dengan macam-macam nama. Sekiranya anda peguam berdaftar, tidak berasapkah telinga dengan cacian mengecam pengamal guaman tanpa usul periksa?
Bukan kami golongan profesional yang tidak boleh ditegur, tidak betah dilarang, namun setiap tuduhan dan kritikan itu biarlah berasas. Jangan jadi seperti anjing menyalak bukit, bunyi berdentum-dentum tetapi hasilnya kontang!
Sebelum saya meneruskan leteran perihal ketidakadilan lahir dari akal-akal yang cetek ini, izinkan saya menegaskan satu fakta (bukan untuk pembaca budiman, tetapi untuk mereka yang bebal): Mana-mana penjenayah tidak boleh dikhususkan mengikut kerjaya, keturunan, warna kulit atau agama. Mereka itu berkiblatkan nafsu dan wang ringgit, tiada kena mengena dengan sifat asal kurniaan Ilahi.
Jadi bila Pak Menteri dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) melatah, lantas menuding jari ke arah Badan Peguam, susulan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, saya rasa amat terkilan sekali.
Kata Pak Menteri, Badan Peguam ‘didesak’ untuk mengaudit aktiviti dan kekayaan setiap peguam di negara ini. Kalaulah Badan Peguam mengaudit ‘kekayaan’ saya, pasti akan berasa kasihan. Mana tidaknya, sudah lebih sedekad menjadi peguam, duit dalam akaun setiap tengah bulan, masih tenat. Tidak mengapa, jika perlu diaudit, kita laksanakan secepat mungkin. Biar semuanya terang dan jelas. Baru Pak Menteri suka.
Tetapi bila membaca kenyataan Pekida mengecam Badan Peguam kerana tidak mengenalkan sistem ‘kad kuasa’ dalam kalangan peguam, saya ketawa terbahak-bahak. Maaf saya bertanya Pekida, bukankah Sijil Annual yang wajib diperbaharui setiap tahun itu, lebih kurang sama fungsinya dengan kad kuasa?
Untuk pendidikan Pekida, setiap peguam yang beramal di negara ini, harus ada Sijil Annual. Proses memperbaharui sijil itu rumit dan terperinci sekali. Akaun Anak Guam harus diaudit, ditandatangani pakar akaun bertauliah. Bukan sedikit wang ringgit melayang untuk membayar perkhidmatan juruaudit bijaksana. Setelah semua surat cara didapati teratur, barulah peguam dibenarkan untuk beramal setahun lagi.
Kami peguam juga dipantau amalan dengan wujudnya satu Disciplinary Board yang setahu saya, amat garang ahli-ahli panelnya. Saya sendiri pernah bekerja dengan rakan kongsi sebuah firma guaman di Kuala Lumpur yang menjadi ahli panel Disciplinary Board tersebut, dan garangnya dia, kus semangat!
Saya juga enggan mengulas tentang cadangan Ahli Parlimen Pasir Mas agar Badan Peguam diletakkan di bawah naungan Jabatan Peguam Negara. Tiada faedahnya saya menjadi seperti anjing menyalak bukit. Hati sakit, ilmu tak sampai.
Saya, hatta sesiapa sekalipun, tidak akan menyokong jenayah kejam dalam kes Sosilawati, tetapi kita ini insan berakal, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Tidak semua 14,000 peguam berdaftar dengan Badan Peguam, kerjanya menipu dan membunuh mangsa. Jangan cepat melatah mengutuk peguam, sekiranya suatu hari anda memerlukan khidmat kami, bolehkah kami memulangkan paku buah keras?
Maaflah, saya marah dengan kenyataan di atas. Sebagai peguam yang masih memandu kereta nasional (selalu rosak tingkap) dan tinggal di rumah persis sarang burung rupanya, saya dan ramai lagi rakan seperjuangan masih mencari rezeki di landasan yang halal.
Sekiranya mana-mana peguam dilaporkan menyalahgunakan kuasa atau pecah amanah, mereka perlu dibicarakan menurut sistem keadilan ditetapkan. Teringat ungkapan bahasa latin, ketika saya berada di sekolah undang-undang dahulu: Ei incumbit probatio qui dicit, non qui negat. Bahasa Inggerisnya bermaksud: The burden of proof rests on who asserts, not on who denies. Justeru, tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga sabit kesalahan dibuktikan.
Saya juga tidak menafikan memang ramai peguam tidak beretika, apatah lagi yang disabit melakukan jenayah kejam, tetapi jangan kita lupa pepatah lama: rambut sama hitam, hati lain-lain.
Nasihat saya kepada mereka yang galak bersorak untuk mengecam Badan Peguam: Sebelum anda menekan picu, tentukan hala peluru dengan pasti. Tersalah tembak, diri sendiri yang binasa!
Elviza juga seorang peguam picisan yang mempunyai perasaan. Temui beliau di http://twitter.com/elviza
sumber : sinar harian
ADOI...KASIANNNNNN
No comments:
Post a Comment