widgeo.net

KURSUS KONTRAKTOR MARA 2011

Wednesday, September 22, 2010

KELANTAN NEGERI MAKMUR SENTIASA




Penulis ingin berkongsi perasaan gembira bersama seluruh rakyat Kelantan apabila kemelut pemerintahan Kelantan terselesai dengan bijaksana. Pelantikan dan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi negeri Kelantan Darul Naim dan jajahan takluknya pada 04 Syawal 1431H bersamaan 13 September 2010, ikut disambut dengan genangan air mata terharu kebanyakan orang. Rakyat Kelantan segenap lapisan dan peringkat, dari warga kota dan desa merafak sembah dan menjunjung kasih setinggi-tingginya kepada Ke Bawah Duli Tuanku sebagai Ketua Negeri yang baru. Harapan rakyat adalah untuk melihat Kelantan akan lebih terurus dan makmur, melangkah sederap serentak setanding dengan negeri-negeri lain di bawah kesultanan Melayu. Semoga perjalanan Kelantan menuju kemajuan berlipat ganda itu direstui Yang Maha Esa, serta Allah SWT jua melindungi Tuanku dunia dan akhirat. Ameen.

Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra mendatangkan sekurang-kurangnya dua kegembiraan. Pertama, fenomena pemerintahan Kelantan sejak setahun lebih yang lalu disebabkan kegeringan Al-Sultan Ismail Petra pada awal tahun 2009, sudah diselesaikan. Kedua, apa pun pandangan dari dalam atau luar, krisis dan kemelut yang menimpa institusi diraja Kelantan bak kata orang tua-tua ‘biduk lalu kiambang bertaut’ atau ‘carik-carik bulu ayam, lambat laun bercantum jua’. Itulah doa rakyat Kelantan yang ingin melihat usrah diraja kekal dilimpahi nikmat, rahmat dan dirgahayu dalam kebahagiaan. Dalam peradaban Melayu itu, sultan dan institusi kesultanan dilaksanakan pohon besar yang subur redup rendangnya tempat rakyat bernaung berlindung.

Sesungguhnya apa yang dilaksanakan Majlis Perajaan Negeri Kelantan (MPN) adalah benar dan sah. Penjelasan Jurucakap Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohamed pada 14 September 2010, bahawa pemasyhuran sultan baru itu tidak harus mengelirukan. Rakyat Kelantan hendaklah bertenang kerana istiadatnya dilakukan mengikut undang-undang dan Perlembagaan negeri. Maka mana-mana pihak tidak harus mempertikaikannya. Pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris sebagai sultan tidak boleh dicabar di mahkamah kerana dilakukan mengikut peruntukan Perkara 23A, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua). Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri telah dipinda dengan cara perisytiharan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan dengan izin dan persetujuan Majlis Penasihat Raja. Itulah jua satu titik tolak penamat krisis yang melanda institusi diraja Kelantan dengan berlandaskan peruntukan undang-undang. Sempena Aidilfitri 1431 Hijrah (2010) yang mulia ini, beliau meminta kita kembali ke akar umbi dan bersama-sama mempertahankan institusi diraja (Utusan Malaysia, 15 September 2010).

Penulis tidak mengenali Tuanku Muhammad Faris Petra dari dekat. Cuma sesekali terpandang dalam sesuatu majlis atau sewaktu Tuanku menghadiri majlis anjuran badan-badan bukan kerajaan (NGO). Penulis tahu Tuanku seorang yang berkeperibadian mulia, berpendirian dan amat sederhana.

Rakyat Kelantan pun tahu bagaimana Tuanku gemar menghadiri majlis rakyat, bergilir masjid bertarawih di bulan Ramadan, boleh mengimamkan solat dan sebagainya, sesuatu yang diharapkan kekal pada diri Tuanku sampai bila-bila. Teladan seorang raja ada pada Tuanku. Insya-Allah keprihatinan Tuanku kepada rakyat dan kemajuan Kelantan menjadi suatu kesinambungan dari titisan suri teladan ayahanda sebelum ini. Daulat Tuanku!.

Semasa menjadi Tengku Mahkota Kelantan, Tuanku pernah bertitah merasmikan Majlis Perhimpunan Perpaduan Melayu, sempena Maulidur Rasul 1429 H bersamaan 12 April 2008, di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur. Rakyat tahu bahawa dua bulan sebelum itu adalah PRU Ke-12 yang menjadi tsunami besar politik tanah air tanpa di duga. Pola dan struktur pemerintahan berubah ke dalam bentuk baru dengan pihak pembangkang menguasai beberapa negeri dan memenangi banyak kerusi Parlimen. Bagi penulis, itu semua terjadi kerana proses demokrasi. Penulis lebih bimbang akan keterhakisan perpaduan Melayu dan maraknya tiupan api perkauman daripada golongan politik tertentu. Apabila Melayu sebagai bangsa induk berpecah belah, harapan total kepada perpaduan satu negara bangsa Malaysia akan ikut terpengaruh. Orang lain mula berani mempertikaikan keluhuran Perlembagaan negara dan menggoyangkan setiap tonggak kenegaraan dan institusi utama seperti kesultanan dan Raja-Raja Melayu selain dari kedudukan Islam, bahasa negara dan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera.

Pada baginda keputusan PRU-12 jelas menunjukkan masyarakat Melayu berpecah belah, walhal perpaduan Melayu wajar diberi keutamaan yang tinggi. Apabila Melayu berpecah, maknanya umat Islam yang berpecah dan akan berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan dari segi politik dan ekonomi. Orang Melayu semacam keliru di manakah benteng kekuatan mereka untuk mempertahankan hak-hak Melayu dan Ketuanan Melayu, apabila dilihat tindak-tanduk dan kerenah mereka yang menang dan kalah. Kedaulatan dan ketuanan itu telah tercabar, mungkin terus terhakis atau hilang terus. Tuanku telah menegaskan seluruh warga Malaysia mesti memahami bahawa peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu dengan jelas menyimpulkan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal negeri-negeri Melayu yang dijamin keistimewaannya sebagai rakyat Malaysia.

Baginda dengan berterus terang meletakkan tanggungjawab kepada rakyat Melayu memastikan perkara-perkara pokok Perlembagaan dipelihara dan dipertahankan sepanjang masa. Baginda menyebut Perkara 153 (1), Perkara 160 (2), Perkara 3 (1), Perkara 152, Perkara 32 dan Perkara 38 (1), Jadual Kelima, berkaitan hak dan ketuanan Melayu, agama Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan di negeri-negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia. Institusi Raja-Raja Melayu adalah payung kepada pemerintahan di peringkat negeri dan Persekutuan laksana tiang seri atau tonggak kelangsungan ketuanan itu. Dalam keadaan sekarang tidak ada yang baik dikaitkan dengan Melayu. Pemimpin Melayu lebih bangga kalau dapat menunjukkan kelemahan bangsa sendiri. Cacat cela dicari, Internet dan blog disalahgunakan. Segala yang bohong telah diterima sebagai satu kebenaran. Banyak berita dan peristiwa negatif kebanyakannya tentang kelemahan dan keaiban bangsa Melayu.

Baginda mengesyorkan agar Melayu menjadi satu bangsa penakluk. Maksudnya bukan menakluki bangsa atau kaum atau negara lain, tetapi Melayu bangkit sebagai sebuah bangsa berjiwa besar dengan kekukuhan perpaduannya. Melayu menjadi penakluk kepada ketinggian ilmu, penguasaan ekonomi dan teknologi, keunggulan tamadun, keluhuran iman dan takwa. Sebagai umat Islam, Melayu hendaklah menjadi bangsa penakluk yang dapat menewaskan nafsu buas, rasa iri hati dan hasad dengki yang membuatkan kita lupa diri apabila berkuasa. Perpaduan, kesepakatan, patriotisme, sayangkan bangsa semuanya disatukan dalam ikatan perpaduan untuk mengangkasa martabat bangsa. Fikrah bangsa Melayu mesti bermula dengan keinsafan terhadap betapa pentingkan akan perpaduan ummah itu. Maruah yang tercalar adalah menjadi tanggung jawab semua tanpa mengira kedudukan, ideologi politik, bangsawan atau rakyat.

Ada ungkapan titah baginda yang boleh lagi kita renungi. Antara yang lain: “Mungkinkah orang Melayu tidak bijak berpolitik menyebabkan usaha-usaha menyatukan orang Melayu gagal dicapai? Demi kekuasaan, ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin Melayu sanggup mengetepikan kepentingan Melayu sendiri, berbeza dengan para pemimpin kaum lain yang sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman demi mempertahankan hak mereka”; "�yang menyedihkan ada pula paling taksub hendakkan kuasa sehingga membujur lalu, melintang patah, asal dapat kuasa, sehingga sanggup menang sorak kampung tergadai, selagi sikap ini tidak dikikis, maka selagi itulah usaha untuk menyatukan Melayu hanya akan menjadi satu impian semata-mata”; “Kita harus akur bahawa dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, hak-hak kaum lain adalah sentiasa terjamin�”; “Sesungguhnya beta mempunyai impian dan harapan untuk melihat suatu keadaan di mana perbalahan dan perbezaan pendapat antara semua pemimpin Melayu Islam itu dirungkaikan menerusi satu muzakarah secara tertutup”.

Demikian ungkapan seorang Tengku Mahkota yang kini bergelar Sultan. Baginda menyeru untuk Melayu tetapi demi kemakmuran, keamanan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya. Para pemimpinlah perlu lebih berhemah, berhikmah dan bijaksana mengetepikan sebentar perbezaan pendapat, tetapi merenungi bersama semangat perpaduan ummah demi agama, bangsa dan negara. Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!.

sumber : sinar harian

AKU BANGGA MENJADI ANAK JATI NEGERI KELANTAN
dan
AKU BANGGA MEMDAPAT SULTAN BERHATI RAKYAT
DAULAT TUANKU
SEMOGA DIPANJANG UMUR DAN DIBERI KESIHATAN YANG BAIK
AMIN

No comments:

Name:
Email Address:
Nombor Telefon :
Pertanyaan & Soalan

Get your own free form like this one.