widgeo.net

KURSUS KONTRAKTOR MARA 2011

Tuesday, September 7, 2010

MADAH RAYA AIDILFITRI 2010

TAKUT & HARAP…
DI AIDIL FITRI

Kekadang mahmudah tidak kecapaian
Hanya dengan tekunnya amalan
Tapi harus ditempa oleh tusukan ujian
Dari kesakitan, kegagalan dan…
persengketaan
Seringkali dosa dan mazmumah
Ditandai oleh perpecahan ukhuwah
Sejauh mana kasih sesama manusia
Dibatasi oleh cinta pada yang Esa
Teguh iman, kukuhlah perpaduan

Kekadang Allah menyempitkan…
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
Kekadang Dia melapangkan…
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!

Ya Allah,
semoga di kemeriahan Syawal nanti
Hati kami tetap di madrasah Ramadan
Dalam alpa dan berdosa… kami takut
Dalam ingat dan taat… kami harap
Takut kemurkaan-MU!
Harap keampunan-MU!

Allah hu Akbar… Allah hu Akbar…
Walillahhilhamd!


SEMAI KEBAIKAN…
TUAI KEREDHAAN

Pada yang empunya harta melimpah
hulurkanlah zakat dan sedekah
Pada yang gagah sihat dan kuat
berilah tenaga dan keringat

Pada yang berbakat dan cendikiawan
murahlah dengan khidmat dan pengajaran
Pada yang miskin dan kesempitan
bersedekahlah dengan senyuman

Semua kita harus pemurah
Memberi bukan untuk bermegah
Tetapi itulah perintah Allah
Sebagai perantara rahmat dan barakah

Di dunia menyemai kebaikan…
Di akhirat nanti menuai keredhaan…
Di sini tempat berkerja memerah tenaga
Di sana tempat berehat menikmati syurga

Ramadan itu medan mujahadah
Agar di Syawal kembali ke fitrah
Perjuangan memang pahit kerana syurga itu manis
Ramadan itu bagai ‘dunia’ – menempuh ujian
Syawal itu umpama ‘akhirat’ – menempah kejayaan!


PERISA HATI DI AIDIL FITRI

Kepelbagaian perisa menjadi satu rasa
Aroma yang berbeza bumbu kelazatannya
Pedas, harum, manis dan pahit bergaul mesra
Dalam resepi warisan sejak dahulukala

Pada kelembutan ketupat dan lemang
Pada keenakan lodeh dan rendang
Bersalut segala kreativiti dan aspirasi
Melahirkan citarasa yang serasi dan harmoni

Begitulah kiasan di Hari Raya
Hari mempertemukan semua yang berbeza
Segala bangsa, budaya dan agama
Buat menjalinkan kesatuan rasa

Berbeza bukan untuk bertentangan
Pelbagai bukan untuk bertikai
Di Aidil Fitri kita dipertemukan
Bagai ramuan dalam satu masakan

Inilah menu hakiki…
Inilah persaudaraan sejati…
Perisa hati di Aidil Fitri!


sumber : genta rasa

No comments:

Name:
Email Address:
Nombor Telefon :
Pertanyaan & Soalan

Get your own free form like this one.