Friday, August 20, 2010
SILAT GAYUMEA STAMEAGAREA KELANTAN
BERIS LALANG - Kelembutan dalam ketangkasan yang dimilikinya menjadikan Silat Gayumea Stameagarea bukan sahaja digemari golongan lelaki malah kanak-kanak serta wanita.
Keunikan dan kehebatan seninya yang mempunyai enam jenis permainan ternyata menarik perhatian ramai walaupun masih baru diperkenalkan.
Ketua Jurulatih Wanita kumpulan silat berkenaan, Sarliziani Abdul Ghani berkata, walaupun sebelum ini pelbagai seni mempertahankan diri terutamanya silat diketahuinya, namun semuanya tidak sedikit pun menarik perhatiannya.
“Bagaimanapun selepas melihat gerak tari seni silat ini, rasa tertarik dan ingin menguasainya lahir secara tiba-tiba, dan alhamdulillah, kini saya sudah mampu menguasai beberapa permainan dalam seni silat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelima Seni Silat Gayumea Stameagarea Kelantan yang diadakan di gelanggang utama silat berkenaan di Kampung Gong Nibong Hulu dekat sini, baru- baru ini.
Sarliziani yang juga seorang suri rumah berkata, kelembutan yang ada di sebalik ketangkasan seni silat ini bukan sahaja menjadikan pelatih-pelatih lebih mempunyai ketahanan apabila bukan sahaja mampu bermain dengan pedang, malah tongkat dan keris.
“Apa yang diharapkan suatu hari nanti saya akan dapat mengusai semua ilmu yang ada di dalam seni silat ini dengan cekap dan mencurahkan ilmu yang ada kepada orang lain,” katanya.
Sementara itu, menurut seorang pelatih kanak- kanak perempuan, Nurul Suhaila Mohamad Othman, 7, berkata, dia seronok mempelajari ilmu silat ini dan berharap akan dapat menguasai semua ilmu yang ada di dalam.
“Saya mengetahui tentang ilmu silat ini melalui ayah, dan ayah juga yang bertanggungjawab membawa saya mempelajari seni mempertahankan diri ini,” katanya.
Nurul Suhaila adalah pelatih paling muda dalam persatuan seni silat yang diasaskan Che Amat Che Noh itu.
Seorang lagi pelatih, Nur Isma Hidayah Mahadi, 9, dia teruja untuk mempelajari seni silat ini setelah melihat ramai di kalangan kanak-kanak sebayanya begitu bersemangat untuk mempelajarinya.
sumber : sinar harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment