widgeo.net

KURSUS KONTRAKTOR MARA 2011

Thursday, September 23, 2010

CELAKA PUNYA HITAM

Mohd Shafiq mungkin senasib Sosilawati
SUNGAI PETANI - “Saya tak pasti macam mana polis jumpa jam itu tapi yang saya ingat jumpa di ladang. Saya cam sebab suami ada banyak jam berjenama tapi satu itu saja yang bertali kulit jenama Puma,” kata Samson Nahar Mohamed Dali, 35.

Penemuan jam tangan yang disahkan milik kontraktor, Mohd Shafiq Abdullah, 37, yang dilaporkan hilang April lepas menjadi petunjuk kemungkinan lelaki itu senasib dengan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Isteri kontraktor itu berkata, beliau dipanggil polis kerana dalam kenyataannya mengenai kehilangan suami di Balai Polis Petaling, Kuala Lumpur April lepas, beliau memberitahu telah menghubungi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati untuk mencari Mohd Shafiq.

Beliau berkata, laporan polis mengenai kehilangan suaminya dibuat 13 April lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini dan kes itu kemudian dipindahkan ke Balai Polis Petaling kerana suaminya hilang di Kuala Lumpur.

Samson Nahar berkata, Mohd Shafiq yang berasal dari Perak tinggal di sebuah rumah sewa di Kuchai Lama, Kuala Lumpur kerana bekerja di sana dan hanya pulang ke rumah mereka di Sungai Petani setiap hujung minggu.

Beliau berkata, selepas menyedari ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap suaminya, beliau menghubungi semua rakan-rakan termasuk suspek.

“Semua orang jawab tak tahu, tapi dia (suspek) seorang sahaja yang bagi jawapan ada jumpa suami dan beritahu suami saya ke luar negara dan akan balik lima enam hari lagi.

“Tapi bila saya tanya pergi mana, dia kata rahsia. Saya rasa pelik dan terus ke rumah sewa suami di Kuchai Lama,” katanya.

Menurutnya, beliau menemui pasport suaminya di rumah sewa itu dan ketika itu beliau menyedari bahawa kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek.

Kali terakhir Samson Nahar berhubung dengan suaminya melalui telefon ialah pada 7 April lepas dan gagal menghubunginya sehari selepas itu.

Beliau berkata, polis juga telah mengambil sampel untuk ujian DNA daripada ibu Mohd Shafiq yang kini menetap di Dengkil, Selangor.

“Polis juga ada meminta barang-barang peribadi suami, saya ada serahkan kasut suami minggu lepas kerana itu sahaja yang ada untuk membantu siasatan dan saya dimaklumkan keputusan DNA akan siap dalam dua minggu,” katanya.

Mengimbas kenangan bersama suami sejak 14 tahun lepas, Samson Nahar berkata, Mohd Shafiq seorang yang sangat bertanggungjawab dan tidak pernah lupa untuk memaklumkan destinasinya sekiranya mahu ke mana-mana.

“Dia memang selalu ke luar daerah dan ada juga pergi ke luar negara, tapi setiap kali sebelum pergi mana-mana dia mesti balik sini dulu sehari atau dua hari untuk bersama saya dan anak-anak,” katanya.

Samson Nahar berkata, selepas dimaklumkan 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa jenayah kejam itu pada malam hari raya lepas, keluarganya mengadakan solat ghaib serta majlis tahlil untuk suaminya.

”Saya masih menaruh harapan suami selamat selagi belum ada pengesahan dan sekiranya disahkan sudah meninggal, kami kena terima dan saya harap dapat mengkebumikan tulangnya di sini,” katanya.

Menurutnya, beliau dan anak-anak akan berpindah ke rumah yang baru dibeli suaminya di kawasan perumahan berhampiran tempat tinggalnya sekarang dalam tempoh terdekat.

“Tapi saya tak tau macam mana nak teruskan hidup lepas ini sebab hilang tempat bergantung, saya pula tiada kerja tetap,” kata surirumah yang mengajar kelas tambahan kepada pelajar sekolah secara sambilan di rumah.

sumber : sinar harian

No comments:

Name:
Email Address:
Nombor Telefon :
Pertanyaan & Soalan

Get your own free form like this one.