widgeo.net

KURSUS KONTRAKTOR MARA 2011

Sunday, September 5, 2010

HUKUM YANG BERAT JIKA HINA AGAMA

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak ada mana-mana pihak yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah menghina mana-mana agama yang diamalkan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius perkara itu terutamanya menyentuh sensitiviti agama kerana boleh mencetuskan kemarahan selain menimbulkan pelbagai masalah khususnya keselamatan dan hubungan baik antara kaum.

“Kita tidak boleh biar sesiapa sahaja baik orang Islam atau bukan Islam untuk mempermainkan agama mana-mana kaum,” tegasnya ketika diminta mengulas gejala menghina agama Islam melalui laman sosial Facebook sejak kebelakangan ini.

Muhyiddin berkata, walaupun ‘serangan-serangan’ itu dibuat melalui laman sosial Facebook, tetapi beliau yakin ada cara yang boleh digunakan untuk membuktikan kesahihan dan identiti pelaku yang tidak bertanggungjawab itu.

“Hal sebegini sepatutnya tidak timbul kerana kita sudah lama hidup dalam negara yang aman dan tenteram, saling hormat menghormati sesama agama. Kenapa satu agama lain harus mencemarkan satu agama lain,” katanya.

Menurutnya, banyak negara lain di dunia yang berdepan masalah hanya kerana timbulnya konflik agama, justeru beliau tidak mahu Malaysia turut tenggelam dalam krisis seumpamanya kerana ia pasti akan membawa bahaya pada negara, berdasarkan komposisi rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang budaya.

“Agama Islam kalau dimainkan, pasti akan menimbulkan kemarahan sebahagian besar rakyat Malaysia kerana kita sebuah negara yang mempunyai penganut Islam yang besar. Kalau agama lain pun, seperti Sikh, Hindu atau Buddha pun pasti tidak mahu orang Islam buat satu lagi Facebook atau apa sahaja yang menyentuh sensitiviti agama lain.

“Bagi kita ini amat bahaya dan saya yakin pihak berkuasa yang telah menerima laporan akan bertindak tegas kerana kita hendak elak hal-hal sebegini daripada menjadi masalah besar kepada negara,” katanya. - Bernama
sumber : sinar harian

No comments:

Name:
Email Address:
Nombor Telefon :
Pertanyaan & Soalan

Get your own free form like this one.